Selasa, 5 Mei 2015

BN pertahan Parlimen Rompin


ROMPIN: Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Rompin apabila calonnya, Datuk Hasan Arifin, menewaskan wakil PAS, Nazri Ahmad dengan majoriti 8,895 undi. Hasan, 62, yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin dan bekas Timbalan Menteri Besar Pahang, memperoleh 23,796 undi, berbanding Nazri yang meraih 14,901 undi. Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Fadzilla Salleh, di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini.

PRK Parlimeb Rompin, menyaksikan sebanyak 38 pusat mengundi dengan 115 saluran dibuka mulai pukul 8 pagi bagi membolehkan 52,744 pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka. Statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), menunjukkan kira-kira 74 peratus daripada 52,744 pemilih berdaftar keluar mengundi sehingga pusat pengundian ditutup pada pukul 5 petang tadi. Ini satu penurunan lebih 11 peratus berbanding 85.9 peratus yang keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 2013.

PRK Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter bersama lima yang lain di Semenyih, Selangor, 4 April lalu. Jamaluddin menjadi Ahli Parlimen Rompin sejak tahun 1990 dan Allahyarham menewaskan calon PAS, Nuridah Mohd Salleh pada 2013 dengan majoriti 15,114 undi.

credit kepada Berita online dan Utusan online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan