Sabtu, 16 April 2016

MINIT MESYUARAT PERSIDANGAN UMNO KALI KE 16. CAWANGAN RPSF-2

Agenda 1 : Ucapan aluan oleh setiausaha.
            1.1       Setiausaha mengalu-alukan kedatangan ahli-ahli cawangan, wakil pemerhati-pemeerhati bahagian, ketua-ketua cawangan lain yang turut hadir memberi sokongan dan tidak lupa kepada perasmi persidangan iaitu YB Dato’ Hasim Rusdi yang juga ketua Umno Bahagian Rasah.
            1.2       Persidangan dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Awal.
             
Agenda 2 : Ucapan Aluan Ketua Cawangan.
            2.1       Ketua cawangan, En. Abdul Ghani Mansoor memulakan ucapan dengan rangkap pantun pembuka berbunyi :

                        “Melati kuntum tumbuh melata
                        Sayang merbah di pohon cemara
                        Assalamualaikum mulanya kata
                        Saya sembah pembuka bicara”

            2.2       Seterusnya beliau mengalu-alukan kehadiran ahli-ahli dan Pemerhati Bahagian serta ketua-ketua cawangan lain yang turut hadir. Antaranya En. Hamzah (pemerhati persidangan cawangan), En. Zek, En. Razi (pemerhati pemuda), Pn. Fauziah (pemerhati puteri) dan Pn. Norfaizah (pemerhati pergerakan wanita). Tidak lupa juga beliau meraikan kedatangan YB Dato’ Hasim Rusdi selaku perasmi persidangan pada malam itu. Beliau memohon maaf kerana YB Dato’ terpaksa menunggu agak lama kerana ketika YB Dato’ tiba, mesyuarat pergerakan wanita dan puteri sedang berjalan.
            2.3       Beliau melahirkan rasa kesyukuran kerana Persidangan pada malam ini berjalan lancar dan jumlah kehadiran ahli untuk setiap sayap mencukupi korum.
            2.4       Biarpun kehadiran pemuda agak tipis tetapi ia memadai untuk membolehkan pemuda juga mengadakan mesyuarat persidangannya.
            2.5       Dengan ketiga-tiga sayap berjaya mengadakan mesyuarat persidangan pada setiap tahun tanpa pernah ada penangguhan membuktikan Umno cawangan Rumah Pangsa ini berada dilandasan yang betul dalam perjuangan politiknya. Ia juga merupakan mesej khas cawangan kepada Umno Bahagian dan kepimpinannya di bawah YB Dato’ Hasim Rusdi bahawa Bahagian mendapat sokongan padu daripada Umno cawangan Rumah Pangsa Senawang Fasa 2. 
            2.6       Ketua cawangan memaklumkan kepada pemerhati dan YB Dato’ bahawa pada hari minggu bersamaan 10/4/2016, yakni 2 hari sebelum hari persidangan; Umno cawangan melalui kerjasama dengan Persatuan Penduduk telah juga berjaya menganjurkan majlis sukaneka di perkarangan Rumah Pangsa Senawang Fasa 2. Sukaneka ini mendapat sambutan ramai dari penduduk pelbagai peringkat usia.
            2.7       Dalam ucapan ringkasnya, ketua cawangan turut membangkitkan beberapa isu-isu semasa yang masih belum diselesaikan lagi. Antaranya kemudahan dewan orang ramai dan futsal. Beliau mohon YB Dato’ memanjangkan perkara ini kepada pihak-pihak berkenaan.
            2.8       Tidak lupa juga ketua cawangan mengambil kesempatan merakam ucapan terima kasih dan bersyukur kerana atas bantuan YB Dato’ juga beberapa kemudahan telah ditambah dan diperbaiki seperti kemudahan tempat meletak motor dan tangga serta penukaran peti surat yang lama kepada yang baru. Termasuk pintu penutup bilik transformer eletrik yang kini dari jenis lutsinar dan berkunci.
 berkunci. Bagaimanapun atas beberapa masalah sampingan yang wujud ekoran dari pembinaan tempat letak motosikal seperti rugutan dari pemilik motor yang mengatakan tempat letak motor itu jauh dan tidak begitu selamat kerana ia terbuka, En. Abdul Ghani berpendapat hanya itu sahaja pilihan yang kita ada kerana kawasan tanah lapang di penempatan kita ini terhad. Kita telah mohon, dan pihak SUK telah luluskan. Tinggal lagi jika kita tetap tidak mahu menggunakan kemudahan yang telah disediakan, beliau pun tidak dapat berbuat apa-apa. Terpulang pada pemilik motor. Cuma selepas ini jika berlaku kebakaran seperti yang pernah terjadi sebelum ini yang mengakibatkan kebakaran sebuah motosikal milik penghuni rumah pangsa, pihak SUK tidak akan bertanggungjawab.
            2.9       Ketua cawangan juga memaklumkan pihak SUK iaitu daripada UPKT (Unit Perumahan Kerajaan Tempatan) telah membuat kemaskini data dan maklumat pemilik rumah pangsa. Ia bertujuan untuk mengenal pasti mana-mana pemilik yang telah habis membayar ansuran rumahnya kepada SUK. Ini kerana dijangka pemberian geran kepada pemilik yang telah habis membayar akan diadakan pada tahun ini dan kemungkinan besar geran akan disampaikan oleh Menteri Besar sendiri dalam satu majlis khas.
            2.10     Ketua cawangan menutup ucapannya dengan rangkap pantun penutup berbunyi,
                        “Jikalau tuan mengangkat peti
                        Tolong masukan segala barang
                        Jikalau semua bersatu hati
                        Kerja yang susah menjadi senang”

Agenda 3 : Ucapan perasmian YB Dato’ Hasim Rusdi.
            3.1       YB Dato’ turut merasa bangsa kerana mesyuarat persidangan cawangan Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 ini berjaya dijalankan pada tiap-tiap tahun dengan ketiga-tiga sayapnya tidak pernah gagal untuk bermesyuarat.
            3.2       YB Dato’ merakam ucapan terima kasih atas semua ahli yang hadir termasuk pemerhati dari Bahagian.
            3.3       Beliau mengingatkan dalam mesyuarat ini tidak perlulah terlalu banyak berbincang dan membuat isu atau usul kerana tahun ini tidak ada pemilihan dan tujuan mesyuarat persidangan yang utama ialah untuk memilih perwakilan ke mesyuarat Bahagian kelak. Apa yang penting ialah Umno cawangan tetap dengan sokongan tidak berbelah bagai bagi terhadap Umno Bahagian.
            3.4       Menyentuh tentang kelewatan mendapatkan beberapa kemudahan yang telah bertahun diminta, YB Dato’ harap penduduk bersabar. Kelewatan ini mungkin berpunca dari beberapa masalah yang melibatkan banyak pihak. Contohnya untuk mendapatkan kelulusan tanah bagi membina futsal, pihak-pihak berwajib kena mendapatkan kepastian pemilik tanah dan jika maklumat telah diperoleh, ia juga perlu melihat kesesuaian tanah dan kesesuaian tempat. Dan yang penting dana untuk membiayainya datang dari pihak mana?
            3.5       Tanah SWM atau Indah Water yang dicadang untuk dibina dewan orang ramai itu pula, YB Dato’ difahamkan tanah tersebut telah diserahkan dibawah pengurusan MPS setelah ia siap dikambus. Dipihak MPS pula, ia mempunyai beberapa bahagian yang khusus dalam membuat penilaian dan pembangunan. Perlu melalui bahagian-bahagian tertentu sebelum permohonan dapat diluluskan. Biasanya MPS tidak hanya menerima 1 permohonan tapi banyak permohonan yang perlu diproses. YB Dato’ akan tetap memberikan sokongan atas usaha untuk membina dewan kemudahan orang ramai tersebut.
            3.6       Atas segala kelewatan dan masalah-masalah yang timbul dari kelewatan tersebut, YB Dato’ berharap orang ramai tidak menyalahkan ketua cawangan. Dan kepada ketua cawangan pula, beliau berharap ketua cawangan tidak mudah putus asa dan give-up. Ini adalah lumrah cabaran yang dihadapi oleh seorang pemimpin. Mengambil contoh Perdana Menteri sendiri yang lebih teruk lagi dikritik dari segenap penjuru tetapi beliau masih tetap bertahan dan bersabar.
            3.7       YB Dato’ seterusnya merasmikan mesyuarat persidangan Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 dengan lafaz ’bismillahirrahmannirrahim’.

            (Setiausaha menyerahkan aturcara seterusnya kepada Pengerusi Tetap, En Shamsuddin Ishak untuk memulakan Mesyuarat Persidangan Umno Cawangan Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 bagi kali ke 16)

            Persidangan dimulakan dengan semua hadirin berdiri menyanyikan lagu Negaraku dan lagu Umno.

Agenda 4 : Membentang Kertas-kertas Persidangan.
            4.1       Pengerusi Tetap meneruskan agenda persidangan dengan mempersilakan setiausaha untuk melaporkan Peringatan Persidangan (Kertas Bil 1) dan Penyata Tahunan (Kertas Bil 2).
            4.2       Setiausaha, En. Tajol Ariffin Hasan membentangkan Kertas Bil 1 dan Kertas Bil 2 dengan meminta ahli-ahli merujuk pada muka surat 5 hingga 12.
            4.3       Seterusnya Pengerusi Tetap meminta Bendahari untuk membentangkan Laporan Kewangan (Kertas Bil 3).
            4.4       Bendahari, En Khairi Jahim membentangkan Kertas Bil 4 dengan meminta ahli-ahli merujuk muka surat 15.

Agenda 5 : Memilih Wakil-wakil ke Persidangan Perwakilan Bahagian
            5.1       Berikut adalah senarai nama-nama perwakilan yang telah dipilih oleh Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri.
                        5.1.1 Cawangan (Ketua automatik) :
                                    1) En. Yuzaimuddin Md Yusof
                                    2) En. Shamsuddin Ishak

                        * Bagi jawatan ketua, mereka adalah terpilih secara automatik iaitu Ketua Cawangan : En. Abdul Ghani Mansor, Ketua Pergerakan Wanita : Pn. Raja Diwi Sulong, Ketua Pemuda : En. Mohd Azrai Mohd Awal dan Ketua Puteri : Pn. Nur Izwani Mohd Ismail.

                        5.1.2 Pergerakan Wanita (Ketua automatik) :
                                    1) Pn. Norhisham Hj. Ithnin
                                    2) Pn. Norfitri Mohd Sarif
                                    3) Pn. Fatimah Shidztamiah

                        5.1.3 Pemuda (Ketua automatik) :
                                    1) En. Khairi Jahim
                                    2) En. Azman Izlan

                        5.1.4 Puteri  (Ketua automatik) :
                                    1) Siti Yusriah Mohd Awal
                                    2) Nazatul Azalina Abdullah
                                    3) Nur Maslina Zulkafli
                                    4) Siti Nazurah Zainudin

Agenda 6 : Membahas Usul-usul (jika ada)
            6.1       Pn. Raja Diwi mengusulkan agar tempat tong sampah yang ada sekarang ditutup dan diletakan di tempat lain yang lebih sesuai. Ini kerana kebanyakan penutup-penutup tong sampah di setiap tangga blok telah rosak. Akibat tidak bertutup, ia mengeluarkan bau kurang enak. Perkara ini sebenarnya telahpun diusulkan kepada pihak SWM. Cuma pihak SWM hanya menukarkan tong sampah sahaja dan tidak menggantikan penutup tong sampah yang terletak di setiap tangga blok. Tidak diketahui sama ada penutup ini di bawah seliaan atau peruntukan SWM atau SUK. Bagaimanapun, usul ini akan dikemukakan kepada 2 pihak berkenaan untuk tindakan mereka seterusnya.
            6.2       En. Shamsuddin Ishak mengusulkan kepada mereka yang membela kucing agar dapat menjaganya dengan sebaik mungkin. Ini kerana didapati banyak kucing-kucing yang berkeliaran dan najisnya ada dimerata-rata tempat yang menyebabkan kebesihkan kawasan flat sedikit tercemar. Ketua cawangan memberikan respon segera dengan menyarankan mereka yang memelihara kucing hendaklah lebih bertanggungjawab.
            6.3       En. Tajol Ariffin membuat usul agar Umno Cawangan mencari punca mengapa pendaftaran ahli baru cawangan mengambil masa yang lama. Ketua cawangan dalam jawapannya merumuskan ada beberapa masalah yang dikesan. Antaranya masalah dokumen tidak lengkap seperti pendaftar tidak memberikan salinan kad pengenalannya. Ketua cawangan juga akan mengambil serius masalah ini dan akan menangganinya dengan setiausaha kelak.

 Agenda 7 : Ucapan Penangguhan Persidangan.
            7.1       Pengerusi Tetap menangguhkan persidangan tepat jam 10.55 malam. Persidangan bersurai dengan KC mengiringi YB Dato’ menyampaikan hadiah kepada pemenang sukaneka serta pemenang hadiah cabutan nombor bertuah.


Oleh Setiausaha Cawangan
En. Tajol Ariffin bin Hasan

           






Tiada ulasan:

Catat Ulasan